‘Ini gelanggang PRU yang terakhir’ – Muhyiddin

0
1

BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Parlimen Pagoh dan masyarakat di kawasan itu mempunyai tempat istimewa di hatinya.

Penyandang Parlimen Pagoh itu berkata, dalam sejarah politiknya selama lebih 40 tahun, beliau tidak pernah berpindah ke kawasan Parlimen lain.

Katanya, pada penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini, beliau menyerahkan borang pencalonan mewakili Parlimen Pagoh untuk kali kesebelas semenjak 1978. 

“Saya setia memberi khidmat kepada masyarakat di Pagoh, dan pengundi di Pagoh juga sentiasa setia memberi sokongan kepada saya di setiap kali pilihan raya. Terima kasih,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ketika PRU14 lalu, ada penyokong yang menasihatkan beliau berpindah ke Parlimen lain kerana Pagoh tidak selamat untuknya.

“Tetapi saya katakan tidak. Biarlah apapun yang terjadi, saya dan Pagoh berpisah tiada,” katanya.

Muhyiddin dalam hantaran itu juga memberi bayangan bahawa PRU15 adalah gelanggang PRU terakhir dalam perjalanan politiknya yang disertai kerana suatu tekad perjuangan. 

Ujarnya, beliau memilih memimpin PN pada PRU kali ini kerana tidak mahu negara jatuh ketangan puak kleptokrat. 

“Saya juga tidak mahu negara ini diperintah sekali lagi oleh sebuah pakatan politik yang gagal menunaikan janji kepada rakyat serta tidak menghormati sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita.

“Perikatan Nasional yang saya pimpin menawarkan sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil untuk semua rakyat. 

“Prihatin dengan ertikata sentiasa mempunyai rasa belas ihsan kepada rakyat serta tidak lokek membantu mereka ketika susah. 

“Bersih dengan ertikata bebas daripada segala amalan rasuah dan penyelewengan. 

“Stabil dengan memastikan kehidupan rakyat sentiasa aman, selamat dan harmoni serta mengelakkan daripada terjadinya perkara-perkara yang menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat berhak memilih pada PRU15 apa yang terbaik bagi diri, keluarga dan negara. 

“Laksanakanlah tanggungjawab anda sebagai pengundi dan buatlah pilihan dengan jiwa yang sedar. Perikatan Nasional, Penyelamat Negara,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Parlimen Pagoh yang disandang Muhyiddin selama enam penggal menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada PRU15.

Presiden Bersatu itu akan dicabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Iskandar Shah Abd Rahman yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here