Reezal sedih Pak Lah tak dapat bersama

0
2

CALON Barisan Nasional (BN) Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, sedih kerana Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak dapat bersama pada majlis bacaan yasin dan doa selamat menjelang hari penamaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), malam tadi.

Reezal Merican berkata, beliau sebak kerana kebiasaannya Abdullah atau lebih mesra disapa Pak Lah tidak akan melepaskan peluang menghadiri majlis berkenaan, namun keadaan kini berbeza.

“Namun, tidak seperti dua pilihan raya yang selalu, Ayahanda Tun Abdullah tidak dapat bersama dengan kita malam ini. Namun, beliau mengirimkan doa dan semangat kepada kita menerusi panggilan telefon.

“InsyaAllah amanat pemimpin lama yang kita kasihi, akan terus kita genggam dan pertahankan Demi Kepala Batas,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Reezal Merican menghadiri majlis bacaan yasin dan doa selamat menjelang hari penamaan calon PRU15 esok, bersama jemaah dan kariah Masjid Jamiul Badawi di Kepala Batas, malam tadi.

Menurut Reezal Merican, masjid berkenaan mencatat memori dan nostalgia buatnya kerana di situ jugalah tempat beliau belajar solat dan mengaji sewaktu zaman kanak-kanak.

“Malah, Allahyarham ayahanda saya juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai setiausaha masjid ini.

“Juga sudah menjadi tradisi sejak Ayahanda Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi, masjid inilah tempatnya kita adakan bacaan yasin dan doa selamat menjelang hari penamaan calon bagi pilihan raya. Semoga Allah SWT permudah segala urusan kita, InsyaAllah,” katanya.

Pada PRU14, Reezal Merican memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas dengan 4,736 undi majoriti, menewaskan calon PKR, Dr Zaidi Zakaria dan Siti Mastura Muhammad (PAS), selepas memperoleh 22,459 undi.

Parlimen Kepala Batas merupakan kerusi legasi Abdullah yang juga bekas Perdana Menteri, dikuasai BN sejak 35 tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here