PM minta semua pihak ketepi perbezaan pendapat, pastikan BN menang

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap perbezaan pendapat dan masalah yang timbul selepas pengumuman calon bagi adalah perkara biasa.

Naib Presiden Umno itu berkata tugas utama sebagai ahli parti buat masa ini adalah memastikan kemenangan semua calon yang dipilih pucuk pimpinan.

“Saya harap, seperti yang saya sebutkan bahawa yang penting adalah parti, saya juga mendengar ada pelbagai bahagian, kawasan Parlimen yang ada sedikit masalah.

“Ini perkara biasa setiap kali Pilihan Raya Negeri, Pilihan Raya Kecil, peringkat pilihan raya umum sekali pun memang akan ada isu yang timbul,” katanya kepada media di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera, hari ini,

Beliau berkata demikian mengulas beberapa pemimpin Umno yang tidak berpuas hati selepas nama tidak tersenarai sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15 ini, sekurang-kurangnya empat nama besar pemimpin Umno digugurkan iaitu Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau); Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara) dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Turut tidak disenaraikan semula ialah penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Shahidan dan Ismail sudah mengumumkan untuk tetap bertanding dan mempertahankan kerusi Arau dan Maran sebagai calon Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, setiap ahli Umno sepatutnya mengetepikan agenda peribadi dan memberi keutamaan kepada kemenangan parti.

“Saya pernah sebutkan dulu, tidak semua yang akan bertanding walaupun di setiap kawasan Parlimen, semuanya layak bertanding.

“Tapi yang terpilih hanya seorang saja, yang pentingnya siapa saja yang terpilih adalah mewakili BN.

“Jadi kita sebagai ahli parti, tugas kita untuk memastikan parti menang, kita ketepikanlah perbezaan dan masalah yang timbul, kita fokus kepada memastikan kemenangan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menasihatkan penyokong yang akan turun pada penamaan calon esok agar tidak menimbulkan sebarang provokasi.

“Saya harap esok penyokong akan turun daripada semua parti. Saya harap kita jaga displin. Jangan timbulkan provokasi yang boleh membuatkan perbalahan dan sebagainya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here