MENGEMBANGKAN kepakaran dan peranan Hospital Sungai Buloh sebagai pusat penyakit berjangkit kebangsaan menjadi antara manifesto atau ‘Kata Janji Sungai Buloh’ yang ditawarkan oleh Khairy Jamaluddin.
Calon Parlimen Sungai Buloh bagi Barisan Nasional (BN) itu yang juga Menteri Kanan Kesihatan, berkata cadangan berkenaan susulan peranan penting hospital berkenaan ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
” Hospital ini pernah diwartakan sebagai hospital perawatan perubatan khusus kepada pesakit-pesakit Covid-19 atau ‘ground zero’ sebelum ini pada 2020.
“Oleh itu, salah satu daripada manifesto #KataJanjiSB adalah cadangan untuk mengembangkan kepakaran dan peranan Hospital Sungai Buloh sebagai pusat penyakit berjangkit kebangsaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut berkunjung ke hospital berkenaan semalam sempena sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan peringkat Hospital Sungai Buloh.
Sementara itu beliau turut menyantuni masyarakat sekitar Sungai Buloh semalam dalam usaha menyelami keperluan masyarakat setempat.
“Saya amat teruja untuk bekerjasama dengan komuniti setempat bagi menambah baik infrastruktur sekolah-sekolah di sini serta program-program pendidikan yang akan saya umumkan dalam manifesto #KataJanjiSB tidak lama lagi.
“Lawatan ke Klinik Kesihatan Kota Damansara. mendengar pandangan dan pengalaman staf dan juga pelanggan. Akses kepada penjagaan kesihatan awam yang berkualiti akan menjadi keutamaan saya di Sungai Buloh,” katanya. – Malaysiapost

