PENGACARA sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA mengesahkan bertanding atas tiket calon Bebas di kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengumuman itu menyaksikan Azwan sekali lagi bakal berdepan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pengacara popular itu juga bakal menentang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Azwan, 56, berkata, beliau akan hadir ke Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak, esok.
“Iya, anda akan menerima jawapannya, esok, iaitu pada hari penamaan calon.
“Saya akan berada di SMK Sungai Pusu. Jadi, orang ramai boleh ikut lintas langsung yang saya buat melalui TikTok dan Instagram (IG) untuk mendapatkan jawapan,” katanya memetik Berita Harian.
Ditanya perasaan melalui hari penamaan calon, esok, Azwan yang mencipta populariti ketika bersama TV3 pada era 1980-an, mengaku gementar.
“Saya gementar kerana kali terakhir saya nampak kelibat Azmin adalah pada PRU14. Selepas sekian lama, esok pastinya saya akan sekali lagi bertembung dengan Azmin.
“Inilah masa dinanti-nantikan ribuan rakyat dan penyokong. Ramai yang mahu melihat momen ini,” katanya.
Azwan berkata, keputusan untuk bertanding pada PRU15 dibuat berikutan sokongan tanpa henti daripada banyak pihak.
“Kali pertama saya bertanding adalah untuk kerusi DUN Bukit Antarabangsa pada PRU14. Ketika itu, saya hanya terima 90 undi. Maknanya, saya kalah teruk dan sudah tentu kerusi itu dimenangi Azmin.
“Tetapi, ketika itu, Azmin mewakili PKR. Sekarang, dia bersama parti baharu. Apa-apa pun, pertembungan Azmin bersama Diva AA memang dinanti-nantikan.
“Jadi, saya mahu ucapkan terima kasih kepada setiap sokongan yang saya terima. Saya hargai sokongan tanpa henti daripada orang ramai untuk saya menentang Azmin, terutamanya akhir-akhir ini,” katanya.
Sementara itu, Azwan turut menasihatkan Azmin agar tidak lupa akan asal usulnya.
“Hayatilah lirik lagu arwah Datuk Sharifah Aini, Terbang Helang. Lagu itu saya tujukan buat Azmin.
“Dia boleh menang dan dia boleh terus terbang tinggi dengan labu-labunya, tapi ingat, suatu hari dia akan jatuh. Saya sebak sebab teringat arwah emak yang membesarkan kami. Saya tahu ramai yang tertanya-tanya mengenai punca keretakan hubungan kami, tapi tak mengapa teruslah berjuang.
“Untuk Azmin, ingatlah asal usul kita,” katanya.
Pada PRU14, Azwan hilang wang pertaruhan apabila meraih 90 undi manakala Azmin meraih majoriti 25,512 undi bagi kerusi DUN Bukit Antarabangsa. – Malaysiapost

