Tiada niat derhaka, anggap Shahidan guru – Rozabil 

0
2

CALON kerusi Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman menganggap Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai guru yang banyak berjasa kepadanya dan tidak pernah terniat untuk mencabar, apatah lagi menderhaka.

Bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Arau itu menjelaskan beliau bukan perampas, sebaliknya akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) yang mencalonkannya di kerusi ‘panas’ berkenaan.

“Saya maklum bahawa tugas yang diberikan ini amat berat, lebih-lebih lagi Shahidan telah menyatakan hasrat untuk bertanding di Arau.

“(Tetapi) saya tidak pernah memasang niat untuk mencabar Shahidan apatah lagi ‘derhaka’ kepada guru yang banyak mengajar saya dalam tentang selok belok politik dan pentadbiran,” katanya.

Rozabil yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Politik Shahidan berkata, sebelum dicalonkan beliau ada menghubungi penyandang kerusi itu untuk memohon restu memastikan kemenangan milik BN.

Rozabil yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia Kuala Lumpur (BSKL) berkata, beliau akan bersaing secara sihat dan cuba mendapatkan sokongan akar umbi.

“InsyaAllah saya akan melakukan yang terbaik demi memastikan Parlimen Arau terus menjadi kubu BN,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Shahidan menang dengan majoriti 4,856 undi mengalahkan calon PKR, Datuk Dr Abd Rahman Daud dan calon PAS Datuk Hashim Jasin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here