TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan keputusan meletakkan Khairy Jamaluddin di kerusi Parlimen Sungai Buloh sebagai ‘membunuh’ karier politik Menteri Kesihatan itu.
Beliau berkata, dakwaan itu tidak benar dengan mengambil kira Parlimen Sungai Buloh mempunyai jumlah pengundi Melayu mencecah 70 peratus.
“Tidak benar cerita itu (bunuh karier politik KJ). Pengundi Melayu di situ hampir 70 peratus dan kerusi itu adalah amat selamat.
“Umno di situ sendiri mengalu-alukan beliau, lebih baik pergi ke sana daripada tempat-tempat yang tidak menerima dia. Itu kedudukannya.
“Pengundi di situ mahukan calon daripada Umno. Saya yakin KJ akan cemerlang di Sungai Buloh dan apa yang penting jentera di sana bersama dengan beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah Calon Parlimen Bagi PRu15 peringkat Negeri Sembilan di Bilik Media Wisma Umno, hari ini.
Mohamad mengulas mengenai pencalonan Khairy yang juga penyandang kerusi Parlimen Rembau dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau yang dicalonkan di kerusi Parlimen Sungai Buloh.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata tiada guna meletakkan beliau di tempat yang tidak menentu seperti di Shah Alam kerana parti melihat aspek penerimaan pengundi.
“Sungai Buloh mengalu-alukan kehadiran beliau. Kita akui Khairy mempunyai karier yang lebih jauh dalam Umno.
“Jadi itu adalah kerusi yang betul untuknya,” katanya – Malaysiapost

