TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui kekuatan Khairy Jamaluddin di Parlimen Sungai Buloh dan mungkin menyumbangkan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, tegas Rafizi, Menteri Kesihatan itu mungkin akan diketepikan oleh Umno walaupun menang di Parlimen Sungai Buloh.
Beliau berkata, ianya kerana Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat Khairy antara ancaman terbesarnya dalam parti.
“Saya harap pengundi-pengundi di Sungai Buloh faham, satu undi untuk Khairy adalah satu undi untuk Zahid.
“Kalau Zahid menang, maksudnya Umno menang, kemudian Sungai Buloh akan menyumbang kepada undi Umno untuk jadi kerajaan. Saya harap pengundi-pengundi di Sungai Buloh faham yang besar kemungkinan Khairy akan kena ‘kerat’.
“Kerana saya tidak nampak bagaimana Zahid selepas Umno menang PRU akan membiarkan. Khairy terus mara dalam Umno kerana dia adalah ancaman terbesar buat Zahid,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Rafizi turut menyifatkan pengundi Khairy di Sungai Buloh seperti memberi pedang kepada Zahid untuk ‘mencincang’ Khairy dalam Umno.
“Jika Umno menang, Zahid jadi perdana menteri, kerjaya politik Khairy akan berakhir. Itu pandangan saya mengenai kerusi Sungai Buloh,” ujarnya.
Sebelum ini, Khairy diminta memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi Rembau pada PRU15.
Khairy kemudian dihantar menjadi BN di Sungai Buloh yang adalah kubu Pakatan Harapan (PH) sejak beberapa penggal lalu.
Sementara itu, Rafizi berkata jika mempunyai pilihan tentang siapa yang mahu dihadapi dalam Umno pada masa hadapan, dirinya memilih Khairy.
Menurutnya, Khairy satu-satunya pemimpin dalam Umno yang masih berminat dengan dasar dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab tanpa menggunakan serangan perkauman atau agama.
“Saya mahu politik masa depan memberi tumpuan kepada kecekapan dan dasar dan bukan mengenai identiti kaum dan ketaksuban agama.
“Dari kalangan Umno dan BN, yang nampak berminat dasar dan buat kerja, seorang saja, yang tidak menggunakan soal perkauman sejak 10 tahun lalu ini hanyalah Khairy.
“Jadi saya rasa jika saya berdepan dengan lawan Umno pada masa hadapan, demi negara, saya lebih suka berdepan dengan Khairy, bukan kerana dia kawan baik saya tetapi negara perlukan itu.
“Umno perlu diketengahkan supaya kita tidak terjebak dalam ketaksuban agama dan kaum ini dari generasi ke generasi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, sambil mengucapkan selamat berjaya kepada Menteri Kesihatan itu kerana cuba mereformasikan Umno, Rafizi berkata beliau tidak begitu yakin perkara itu akan berlaku.
Ia kerana, katanya selain Khairy kini orang buangan Umno, Rafizi juga mendakwa Umno sudah jauh menyimpang ke kanan, dan terlalu ketaksuban kaum dan agama. – Malaysiapost

