Azhan Rani derma darah plasma kali ke-50

0
1

PELAKON popular, Azhan Rani kembali menjadi penderma darah plasma selepas setahun tidak dapat berbuat demikian akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Lebih menggembirakan pelakon yang terkenal dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama Nur itu, telah genap menderma darah plasma untuk kali yang ke-50.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Azhan berkongsi kegembiraan apabila dapat kembali berbakti kepada masyarakat, terutama individu yang memerlukan bekalan darah plasma.

“Saya kembali. Alhamdulillah hari ini dengan izin Allah SWT, saya kembali menjadi penderma apheresis (istilah penderma darah plasma). Hari ini genap beg ke-50.

“Nak berkongsi sedikit info, penderma darah warna begini (putih) dipanggil penderma apheresis. Warna darah tidak merah sebab ini adalah darah plasma. Dalam darah merah ada darah plasma dan platelet,” jelasnya.

Menerusi perkongsian itu juga, Azhan sempat berseloroh apabila memaklumkan darah plasmanya akan ‘terbang’ ke Australia dan lebih beruntung berbanding dirinya yang tidak pernah ke negara itu.

“Darah plasma ini akan terbang ke Australia untuk diproses. Merasa darah aku pergi sana (Australia). Aku pun tak pernah sampai lagi. Setakat Arau, Perlis tu adalah juga dua tiga kali dah sampai,” katanya.

Menurut pelakon berusia 46 tahun itu, selepas dibenarkan semula menjadi penderma darah plasma, dia bercadang untuk melakukan sumbangan sekerap yang dibenarkan.

“Hari ini dapat jadi penderma apheresis semula selepas setahun berehat. Insya-Allah saya akan menderma lagi” katanya.

Dalam pada itu, Azhan turut menyeru orang ramai supaya menjadi penderma darah untuk manfaat orang lain yang memerlukan dengan mengunjungi Pusat Darah Negara.

“Bagi mereka yang sihat dan layak, marilah sama-sama menderma darah. Menderma darah bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga sangat bermanfaat untuk kesihatan anda sendiri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here