DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak mudah untuk kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) membuat keputusan getir berhubung soal calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun kata Presiden Umno itu, keputusan tegas, berani dan bijaksana perlu dilakukan dalam memulihkan dan menjadi pencetus kebangkitan Umno serta BN.
Tegasnya, jika Umno dan BN tidak membuat perubahan sekarang, ia boleh menyebabkan parti ketinggalan ke belakang di kala pesaing melakukan perubahan dalam soal calon.
Ini kerana katanya, suara anak muda sangat penting dan Umno perlu mendengar dan memberikan peluang kepada calon-calon baharu untuk bertanding.
“Yang sudah lama menjadi wakil rakyat perlu memberikan peluang suara anak-anak mengambil tempat dan kedudukan.
“Ketika yang sudah lama bertanding dulu, mereka disokong anak-anak muda dan dewasa yang lain. Tanpa sokongan ini mereka tidak dapat jadi wakil rakyat berpenggal-penggal lamanya.
“Kini tiba masa mereka pula apabila tidak terpilih, mengambil sikap betul, berjiwa besar menerima sebagaimana mereka pernah diberi peluang belasan dan puluhan tahun dahulu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut mengingatkan calon yang tidak terpilih jangan mencetus rasa tidak berpuas hati, marah, protes, cah keting dan sabotaj.
Beliau turut mengingatkan agar jangan ada yang cuba menutup bilik gerakan serta memberikan kenyataan yang memburukkan reputasi parti sendiri.
“Mereka perlu sedar apabila ini dicetuskan ia menunjukkan warna sebenar sikap mereka terhadap parti dan rakyat perlu nilai sendiri peribadi politik sedemikian.
“Ketika ini kesetiaan kepada parti, merapatkan barisan lebih penting daripada merintih apabila tidak dicalonkan.
“Maka janganlah pula terfikir untuk mengkhianati parti secara langsung dan tidak langsung.
Jika ini berlaku bermakna tidak bersyukur kerana selama ini mereka relevan, menjawat jawatan lama kerana atas tiket Umno dan BN,” katanya lagi.
Ahmad Zahid menambah, golongan tersebut perlu sedar apabila meletakkan muka-muka baharu bermakna ia sebahagian peremajaan parti dan memastikan penglibatan anak muda diberi tempat dan kedudukan sewajarnya.
“Kita perlu menerima hakikat undi bawah 39 tahun mewakili sekitar 50 peratus pengundi di negara ini yang bakal mengundi pada PRU15.
“Maka kita perlu pastikan sayap Puteri dan Pemuda BN berada dalam landasan betul di barisan hadapan. Sebab itulah misalnya Ketua Puteri Umno, Ketua Puteri Negeri, Pemuda Umno mengambil tempat dan kedudukan.
“Kita perlu berubah. Dalam politik “No one person is indispensable, but all people are important. Yang sudah lama berpolitik memberi laluan menjadi suri teladan BN manakala yang muda mulai mengambil tempat dan kedudukan bagi memperbaharui kesinambungan,” katanya.
Beliau menjelaskan, apabila tidak tersenarai bukan bermakna tidak penting tetapi tidak selamanya menongkat langit maka laluan kepada calon baharu perlu dilakukan seperti peribahasa ‘patah tumbuh hilang berganti’. – Malaysiapost

