KETUA Pemuda Parti Cinta Malaysia (PCM), Richie Huan Xin Yun dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera.
Perkara itu diumumkan menerusi laman Facebook Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan hari ini.
Richie dinamakan sebagai calon bagi menggantikan Razalif Mohd Zain yang digugurkan daripada menjadi calon BN bagi kerusi berkenaan.
Cheng Guan berkata, Majlis Tertinggi PCM telah berbincang dan mendapati Richie adalah calon yang paling sesuai untuk bertanding bagi mewakili BN di kerusi berkenaan.
“Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kedudukan demografi, kebajikan rakyat serta pengundi di Parlimen Bukit Bendera,” katanya.
Beliau berkata, PCM turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kerana memberi peluang kepada parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Sebagai Ahli Bergabung BN sudah pasti peluang ini memberi makna bahawa BN adalah sebuah gabungan parti yang sangat harmoni dan bersesuaian dengan tema Kestabilan dan Kemakmuran,” katanya.
Semalam, BN mengumumkan Razalif daripada parti PCM bertanding mewakili parti itu di kerusi Parlimen Bukit Bendera. – Malaysiapost

