TINDAKAN Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mempertahankan kerusi Parlimen Mersing yang disandangnya, disambut baik Rafizi Ramli.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, tindakan Abdul Latif itu tidak bermakna dakwaan beliau terpalit dalam skandal projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) akan lenyap begitu sahaja.
Rafizi yang memainkan peranan dalam pembongkaran skandal LCS berkata, setakat hari ini masih menunggu saman daripada Abdul Latiff.
“Saya mengalu-alukan pengumuman Datuk Latiff Ahmad, pimpinan Bersatu/ Perikatan Nasional yang terpalit dengan skandal LCS untuk tidak bertanding dalam PRU15.
“Saya juga masih menunggu surat saman sivil dari beliau selepas pendedahan-pendedahan saya menunjukkan penglibatan beliau dalam skandal LCS melalui sebuah syarikat palsu yang bernama Alizes Marine Ltd.
“Saya ambil maklum kenyataan beliau minggu ini yang beliau mempunyai tempoh masa enam tahun untuk mengemukakan saman sivil terhadap saya.
“Saya berharap beliau tidak menggunakan taktik yang sama seperti (Datuk Seri) Najib Razak, yang berjanji untuk menyaman Wall Street Journal tetapi sehingga ke penjara belum memfailkan saman tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sehingga kini, Abdul Latiff cuba mengelak mengenai pembabitan beliau dalam syarikat-syarikat yang dinamakan di dalam laporan audit forensik LCS dengan hanya memberikan penafian-penafian mudah.
“Satu-satunya penafian setakat ini adalah ‘Zainab bukan isteri saya’, sedangkan carian syarikat menunjukkan Latiff Ahmad adalah rakan kongsi Zainab dalam syarikat Alizes Marine Ltd yang dinamakan sebagai syarikat palsu yang mendapat kontrak pembekalan projek LCS.
“Keterlibatan Latiff Ahmad dalam perolehan projek LCS lebih sukar untuk dinafikan kerana ada lagi beberapa syarikat yang dinamakan di dalam laporan audit forensik yang ada kaitan dengannya.
“Jika siasatan dalaman setakat ini hanya menamakan satu syarikat yang ada kaitan dengan Latiff Ahmad, dia boleh membuat tuduhan bahawa siasatan terkeliru (seolah-olah ada individu lain yang bernama Latiff Ahmad).
“Apabila siasatan menamakan juga syarikat-syarikat lain yang ada kaitan dengannya, atau individu-individu yang dikenal pasti sebagai rakan perniagaannya, sudah tentu bukti-bukti ini mengukuhkan lagi penemuan siasatan dalaman bahawa Latiff Ahmad mendapat laba (secara salah) dari perolehan projek LCS.
“Satu lagi dari syarikat yang dinamakan di dalam laporan forensik audit yang mempunyai kaitan dengan Latiff Ahmad ialah sebuah syarikat yang didaftarkan di Singapura bernama JSD Corporation Pte Ltd,” katanya.
Justeru, Rafizi menegaskan, walaupun telah mengumumkan persaraan dari politik, tidak bermakna Abdul Latiff boleh bebas dari tuduhan-tuduhan berkait skandal LCS.
“Saya harap rakyat Malaysia bersabar sementara saya terus meneliti kes ini sehinggalah tangan-tangan ghaib yang menggugat keselamatan negara (demi kekayaan dan kepentingan diri) di bawa ke muka pengadilan.
“Pengalaman saya menunjukkan usaha untuk membongkar tangan-tangan ghaib di sebalik skandal-skandal besar negara selalunya memakan masa yang cukup lama,” katanya. – Malaysiapost

