BN, PN umum calon malam ini

0
1

SELEPAS Pakatan Harapan (PH), kini giliran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bakal mengumumkan calon masing-masing bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

BN bakal mengumumkan senarai calon mereka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara pada jam 8.30 malam ini.

PN pula akan berbuat demikian di MITEC, Jalan Dutamas 2 di Kuala Lumpur pada masa sama.

Pengumuman kedua-dua gabungan itu menarik perhatian ramai susulan pelbagai spekulasi melibatkan beberapa nama besar yang dikatakan bakal digugurkan.

Di pihak BN terutamanya, nama tiga tokoh besar iaitu Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Datuk Zahidi Zainul Abidin dikatakan tidak tersenarai.

Malah malam tadi, Annuar dan Shahidan seakan memberi bayangan bahawa mereka tidak tercalon.

Annuar yang juga penyandang Kerusi Parlimen Ketereh menerusi hantaran di Facebook, seolah-olah memberi bayangan wujud konflik berkenaan pemilihan calon.

Beliau berkata, sebelum ini parti memberi jaminan calon bakal ditampilkan mempunyai ciri-ciri ‘WALI’ merujuk kepada boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable), namun yang berlaku sebaliknya.

“Janji kononnya bakal dipilih adalah para WALI, namun kedengaran sana-sini banyak sudah ‘winners’ dipancung, terutama yang dekat dengan PM…tapi itu rumours (yang tidak semestinya tidak berasas),” katanya.

Shahidan pula mengesahkan semua bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Parlimen Arau yang disandangnya bagi menghadapi PRU15 ditutup, malam tadi.

Di pihak PN pula, beberapa nama telah diumumkan termasuk Datuk Seri Rina Harun yang akan bertanding di Parlimen Sepang, sekali gus tidak pertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa yang disandangnya.

Turut menarik perhatian mengenai calon-calom Bersatu dan PAS yang bakal menentang nama-nama besar BN serta Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here