PRU-15 medan BN bangkit semula – Ahmad Zahid

0
1

MENGGALAS harapan jutaan ahli Barisan Nasional (BN) yang mahu gabungan politik itu kembali bangkit sesudah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bukan suatu tugas yang mudah, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, pelbagai pahit getir dan cabaran diharungi satu demi satu sepanjang empat tahun lalu sangat menguji ketahanan diri pemimpinnya yang setia.

“Berdepan pengkhianatan, tekanan demi tekanan, kezaliman demi kezaliman namun menganugerahkan sesuatu yang amat berharga kepada kita semua.

“Bahawa kesabaran, kejujuran, keikhlasan dan meyakini ketentuan Ilahi dalam sebuah perjuangan nan luhur bukan sesuatu yang serampangan atau sia-sia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, kisah berkenaan hanyalah sebahagian daripada peristiwa besar perjuangan BN untuk kembali bangkit selepas kekalahan pada 9 Mei 2018.

Beliau berkata, apa yang lebih mustahak adalah tentang kesungguhan dan keyakinan para ahli akar umbi BN yang tidak sesekali mengenal erti mengalah dan berundur.

Ahmad Zahid berkata menjelang PRU-15 yang akan tiba, matlamat utama kini adalah menebus kemenangan dengan usaha dan semangat semua ahli parti gabungan berkenaan.

“Usah menoleh lagi dan terus melangkah ke hadapan bagi mengangkat semula BN sebagai sebuah kerajaan dominan demi masa depan Malaysia stabil dan makmur.

“Sederap kita mara lebih tangkas, tersusun, sehati sejiwa untuk menyatakan BN adalah pilihan terbaik untuk diyakini oleh rakyat pada 19 November 2022.

“Kepada Tuhan Yang Maha Esa jua kita memohon bantuan dan pertolongan selepas segala daya upaya. Insya-Allah berkat keazaman bersama kita beroleh kejayaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here