Bersatu Tasek Gelugor beri laluan kepada Wan Saiful

0
1

KETUA Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, kini hampir pasti akan bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pencalonannya sebagai wakil Perikatan Nasional (PN) di kawasan berkenaan juga mendapat sokongan daripada Bersatu Bahagian Tasek Gelugor.

Sokongan itu dinyatakan sendiri oleh Ketua Bahagiannya, Azmi Alang dalam satu kenyataan hari ini, sekaligus menjawab segala persoalan mengenai calon yang dinamakan oleh PN di kerusi berkenaan.

“Bersatu Tasek Gelugor mengambil maklum laporan berita mengenai calon untuk P042 Parlimen Tasek Gelugor.

“Perbincangan empat mata dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Oktober 2022 di kediamannya sendiri.

“Dalam perbincangan tersebut, saya telah menyatakan bahawa Bersatu Tasek Gelugor menyokong penuh cadangan untuk menamakan Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan, selaku calon Parlimen kami,” katanya.

Menurutnya, Bersatu Tasek Gelugor pada awalnya menamakan beliau untuk menjadi calon, namun kini bersedia memberi laluan dan menyokong Wan Saiful.

“Ia membuka ruang bagi tokoh muda peringkat nasional yang berpotensi menjadi Menteri Kabinet untuk membawa kemakmuran kepada semua rakyat Tasek Gelugor.

“Kami bukan sahaja menyokong sepenuhnya Wan Saiful, tetapi juga akan bekerja untuk memenangkan calon kami. Kami berharap pihak PN Pusat akan memberi perhatian kepada pandangan kami di peringkat Bahagian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here