Bekas pekerja kontrak hidap kanser tulang mohon bantuan

0
1

Ben Ibrahim

SEORANG bekas pekerja kontrak merayu bantuan bagi menjalani pembedahan selepas disahkan menghidap kanser tulang.

Muhammad Adli Azahar, 29, dikesan menghidap penyakit itu kira-kira lima bulan lalu dan kini sedang menjalani rawatan kimoterapi.

Dia yang menetap di Balok Sejahtera, dekat Kuantan bersama isterinya, Nurul Effa Syamira Saimi, 25 tahun, baru mendirikan rumah tangga awal tahun ini.

Muhammad Adli berkata, pada mulanya dia menjangkakan sakit dialami pada pangkal bahu disebabkan kerja berat ketika bertugas di sebuah kilang dekat kawasan perindustrian Gebeng.

“Ketika saya dan seorang rakan mengangkat barang, tiba-tiba saya rasa sakit pada pangkal bahu dan hingga terpaksa berehat.

“Selepas pulang dari tempat kerja, saya ke hospital untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan ketika itu mereka cuma cakap saya mengalami kesan ‘frozen shoulder’ kerana mengangkat barang berat.

“Tidak lama selepas itu, saya sekali lagi melakukan pemeriksaan di klinik pakar sebelum diberitahu kesakitan dialami adalah akibat kanser tulang,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Dia berkata, doktor pakar yang memeriksanya memberitahu dia perlu melakukan rawatan kimoterapi sebanyak empat kali sebelum boleh menjalani prosedur pembedahan bagi menggantikan tulang yang rosak teruk akibat kanser.

Katanya, kos bagi pembedahan itu melebihi RM38,000 dan dia tidak mampu untuk menyediakan jumlah wang berkenaan.

“Ketika dimaklumkan menghidap kanser tulang, memang saya buntu sebab kami baru saja berkahwin dan hanya saya seorang saja yang mencari rezeki untuk keluarga kami.

“Ditambah pula bila mengetahui jumlah diperlukan untuk melakukan pembedahan, memang saya tidak tahu ke mana lagi nak cari wang,” katanya yang kini hanya mampu melakukan kerja ringan dengan membantu rakannya di bengkel motosikal.

Dalam pada itu, Nurul Effa Syamira redha dengan dugaan dilalui mereka dan berharap ada pihak sudi membantu mereka.

“Buat masa ini saya tidak boleh bekerja sebab nak jaga dia (suami), jadi sukar jugalah sedikit kehidupan kami, maklum sajalah, kami pun baru berumah tangga dan ini adalah cabaran untuk kami,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Muhammad Adli dan Nurul Effa boleh menghubungi mereka di talian 017-907 5973.

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan pula boleh berbuat demikian melalui pemindahan wang ke akaun CIMB nombor 7607317218 milik Muhammad Adli Azahar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here