Tak patut ugut parti jadi calon Bebas – Peja

0
1

MENGUGUT parti untuk menjadi calon bebas sekiranya tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan golongan itu berjuang untuk diri sendiri selama ini. 

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata seorang pemimpin tidak sepatutnya mengugut serta meninggalkan parti sekiranya nama mereka tidak dicalonkan bertanding pada PRU15. 

“Pada saya, mana-mana ahli tidak sewajarnya membuat ugutan kepada parti dan kalau ada dalam kalangan pemimpin yang sanggup meninggalkan parti jika tidak dicalonkan dan menjadi calon Bebas, jelas bahawa pemimpin itu hanya berjuang untuk diri sendiri.

“Mereka tidak berjuang untuk kepentingan parti yang pernah diwakilinya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan upacara pecah tanah Perak Youth Center (PYC) di Tambun, Ipoh, hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak itu berkata demikian mengulas kenyataan penyandang kerusi Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang memberi bayangan akan menjadi calon Bebas sekiranya tidak dicalonkan pada PRU15.

Semalam, media melaporkan, Noor Azmi memaklumkan bahawa beliau akur sekiranya tidak dicalonkan bertanding, namun memberi bayangan akan bertanding bebas kerana percaya pengundi tempatan mahukan calon anak tempatan.

Ahmad Faizal menjelaskan, perkara tersebut tidak pernah dimaklumkan kepadanya secara peribadi oleh Noor Azmi.

Menjawab spekulasi PAS mahu meletakkan calonnya di Parlimen Bagan Serai, Ahmad Faizal menegaskan, keputusan untuk meletakkan calon adalah hak parti.

Jelasnya, penyokong PN mestilah mendukung perjuangan gabungan itu sekali gus akur dengan keputusan yang ditentukan parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here