Ben Ibrahim
KERAJAAN menyediakan peruntukan berjumlah RM20 juta untuk membina litar lumba bagi menyokong aktiviti permotoran di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu termasuklah pembinaan sebuah litar lumba di daerah Bera.
Katanya, kerajaan jug sentiasa menyokong aktiviti permotoran di negara ini yang merupakan antara aktiviti golongan muda dan belia.
“Seperti yang saya umumkan di Terengganu dan telah pun dibentangkan waktu Bajet 2023 lalu, kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk membina litar lumba dan kita akan bina satu (litar lumba) di Bera.
“Kalau ada keperluan lain lagi, saya boleh bantu ‘rider’ ini dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap pada program ‘Moh Wei 2 Wheel’ di Dataran Dewan Konvensyen Bera, di Bera, Pahang petang tadi.
Ismail Sabri berkata, selain pembinaan litar lumba, pelbagai inisiatif turut dilakukan untuk membantu golongan belia, termasuklah untuk memulakan perniagaan.
Antaranya ialah memperkenalkan semula skim ‘Mobileprenuer’ yang memberikan motosikal kepada belia sebagai permulaan menjadi usahawan.
Skim ini diberhentikan kerajaan Pakatan Harapan selepas mereka menjadi kerajaan selama 22 bulan, kata Ismail Sabri.
Untuk memastikan golongan belia mampu memiliki kediaman sendiri pula, beliau memaklumkan kerajaan akan melancarkan projek pembinaan rumah mampu milik pada harga permulaan RM45,000.
“Kerajaan juga sudah melancarkan skim jaminan kredit perumahan bagi memastikan golongan muda yang tidak mempunyai kerja tetap, dapat memiliki rumah sendiri,” katanya. – Malaysiapost

