Buku teks sejarah: Kesilapan gambar Tun Sambanthan memalukan – Guan Eng

0
1

SELEPAS silibus mata pelajaran melampaui tahap murid sekolah rendah menjadi pertikaian ramai, kini dikesan pula kesalahan fakta bergambar melibatkan tokoh pemimpin di buku teks sejarah tahun lima. 

Perkara ini mendapat perhatian Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan kesilapan seperti itu tidak sepatutnya berlaku sekali gus menjadi tamparan hebat kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Mula-mula kes Cikgu Fadli, sekarang ini pula. Siapa yang akan bertanggungjawab dan dikenakan tindakan? Kesalahan memalukan ini tak berhujung,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini. 

Guan Eng berkata demikian merujuk kesilapan gambar Tun VT Sambanthan yang dikesan di buku teks sejarah tahun lima. 

Terdahulu, media melaporkan gambar Sambanthan yang terdapat dalam buku teks sejarah bukan gambar sebenar beliau. 

Kesalahan itu dikesan anak perempuan bekas Presiden MIC pertama itu, Deva Kunjari. 

Beliau terkejut dengan buku teks Sejarah Tahun Lima yang menamakan bapanya, tetapi menggunakan gambar EEC Thuraisingam, Menteri Pendidikan pertama Tanah Melayu.

Halaman dalam buku sejarah itu berkaitan Sistem Ahli Kabinet kerajaan yang diperkenalkan Henry Gurney yang membuka laluan kepada pemerintahan sendiri Tanah Melayu pada 1951.

Muka surat itu mengandungi gambar Datuk Onn Jaafar dan Thuraisingam, dengan keterangan gambar terakhir itu ialah “VT Sambanthan”.

“Saya terkejut, bukan saja mereka menamakan bapa saya tanpa gelarannya, tetapi mereka menggunakan gambar orang lain. Dan ini ialah buku teks. Penerbit dan Kementerian Pendidikan akan terima aduan daripada saya.

“Tak tahu apa lagi kandungan tidak tepat dalam buku teks ini,” katanya dalam hantaran Facebook. 

Sambanthan merupakan seorang daripada pemimpin yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan 1957. 

Beliau juga menteri buruh pertama Tanah Melayu sebelum Merdeka dan Ahli Parlimen Sungai Siput yang pertama yang menyandang kerusi itu selama 18 tahun dari 1955. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here