PN tak janji bulan dan bintang, manifesto tidak masuk akal – Muhyiddin

0
1

PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan menawarkan manifesto pilihan raya yang menjanjikan perkara tidak masuk akal seperti parti-parti lain sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PN berpegang kepada konsep integriti dan amanah di mana apa yang mereka janjikan bakal ditunaikan sekiranya berjaya berkuasa di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

“Saya cadangkan kepada pengerusi yang buat manifesto, Datuk Radzi Jidin supaya maklumkan bahawa apa yang kita buat (manifesto) ini bukan sebagai satu tawaran sahaja.

“Kita akan bentuk jawatankuasa bebas terdiri daripada mereka yang faham tentang pengurusan dan kewangan negara untuk duduk, teliti apa yang telah dan akan kita buat. Memenuhi apa yang telah kita janjikan dalam manifesto.

“Itu boleh meyakinkan rakyat bahawa kita ini bukan buat main-main, tawar bintang, matahari tapi kita tak buat seperti dijanjikan kerajaan dahulu. Janji nak buat sejuta rumah, tak buat. Janji bantuan itu ini…saya tak boleh buat cara begitu,” katanya kepada media di Pagoh, semalam.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN akan melancarkan manifesto selepas penamaan calon yang ditetapkan pada 5 November ini.

Jelasnya, PN berjanji untuk mengembalikan moratorium bagi membantu rakyat untuk mempunyai aliran tunai untuk menjalani kehidupan sekaligus memulihkan ekonomi negara.

“Sekarang ini pihak SME Association rayu seboleh mungkin supaya diberi sekali lagi pusingan moratorium. Saya jangka moratorium ini boleh kita buat kerana kalau Kementerian Kewangan dulu boleh buat, minta Bank Negara mengarahkan bank-bank di negara kita memberikan moratorium. Bank tidak menanggung rugi sebaliknya menambah keuntungan sebab moratorium ini hanya tangguhkan hutang.

“Bila ekonomi dah pulih mereka bayar balik. Itu tidak melibatkan wang kerajaan. Jadi ekonomi boleh cepat pulih. Yang ini Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri) tidak bersetuju dulu. Tak buat pun. Kalau saya, semalam saya dah buat dah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here