Aiman Hanif
MANIFESTO merupakan “senjata’ yang perlu ada bagi setiap parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai tawaran kepada rakyat.
Meskipun ada pemimpin politik yang menganggap manifesto “bukan kitab suci yang perlu dipatuhi”, namun apabila kita berjanji sewajarnya memenuhinya kerana ia merupakan hasrat rakyat.
Kali ini, BN dilihat mengambil satu langkah ke hadapan dengan mengetengahkan Bajet 2023 sebagai alternatif kepada manifesto.
BN pastinya akan tampil dengan manifestonya nanti, namun Bajet 2023 telah memperkukuhkan lagi manifesto BN.
Malah sudah pastinya Bajet 2023 menjadi kelebihan kepada BN kerana bajet merupakan tawaran yang pasti sekiranya BN dipilih untuk kembali menerajui negara.

Berbanding dengan manifesto, manifesto adalah sekadar janji sahaja, parti yang bertanding akan menabur seribu satu kemanisan dan keindahan dengan niat hanya untuk menarik undi. Tetapi mereka tidak pernah sesekali pun menilai apakah kapasiti kewangan negara.
Rakyat Malaysia masih tidak lupa bagaimana janji manis dan indah yang pernah ditabur Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu.

Janji “bulan dan bintang” PH serta fitnah yang ditabur akhirnya berjaya menumbangkan BN yang menerajui negara sejak lebih 60 tahun.
Namun, selepas mereka berkuasa dan apabila didesak supaya menunaikan manifesto, dengan selamba dan tanpa malu Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri ketika itu berkata “manifesto bukannya kita suci yang wajib dipatuhi”.
Janji manifesto seperti formula hapuskan tol, hapuskan PTPTN atau pendidikan percuma yang Rafizi Ramli pernah gembar gemburkan tidak pernah sekali pun cuba untuk dibuat. Malah lepas jadi kerajaan, Rafizi terus diam sepi acah bersara.
Lebih teruk lagi, sewaktu pemerintahan PH, mereka hapuskan keistimewaan pengecualian bayaran balik untuk pelajar M40 dan T20. Inilah yang terjadi apabila mereka tidak pernah menilai kapasiti negara semasa. Apakah kita mahu pisang berbuah dua kali?

Jika kita menganalisis kembali skrip manifesto PH ini, mereka terhenti sekadar apa mereka akan buat, tetapi mereka tidak menceritakan bagaimana mereka akan buat. Contohnya, mereka sekadar kata akan hapuskan tol, tetapi tidak pernah tunjuk cara hapuskan tol. Bagaimana rakyat nak percaya?
Berbeza dengan Bajet 2023, bajet sesebuah negara sudah pasti akan menilai dahulu kapasiti sesebuah negara. Malah untuk Bajet 2023, bajet tersebut telah diaudit oleh firma audit terkemuka seperti PwC, KPMG dan Ernst & Young.
Bahkan kesemua firma tersebut memuji kesempurnaan Bajet 2023 yang menyeluruh, mampu menjadi mekanisme terbaik untuk menghadapi kegawatan.
Antara dasar dan polisi dalam Bajet 2023 untuk menghadapi kegawatan adalah seperti mengoptimumkan tenaga kerja Malaysia seperti menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penganggur, wanita dan OKU.

Bajet 2023 juga lebih menarik kerana bajet pada kali ini mencakupi pelbagai kelas rakyat demi menandakan Ismail Sabri sangat pro rakyat.
Antara bantuan yang akan diberikan seperti:
a. Penurunan cukai pendapatan sebanyak 2%.
b. Inisiatif e-pemula sebanyak RM100 akan dikreditkan ke ewallet M40 jika gaji bulanan mereka bawah paras RM10000
c. RM 826 juta diperuntukkan untuk Bantuan Awal Persekolahan yang ditambah baik kepada RM150 dari RM100 tanpa mengira had pendapatan.

d. Pengecualian bayaran balik PTPTN tanpa mengira kelas pendapatan. (Sebelum ini untuk B40 sahaja)
Istimewanya pada pilihan raya kali ini, rakyat mempunyai kuasa untuk mengundi bajet tahunan. Kalau selama ini, hanya ahli parlimen saja ada kuasa untuk mengundi bajet tahunan. Tetapi kali ini satu undi untuk kerajaan bermakna satu undi untuk Bajet 2023.

Oleh itu, kepada pengundi di luar sana, rakyat Malaysia yang budiman, sebelum membuat keputusan gunalah kuasa anda dengan sebaik mungkin. Jangan biarkan anda diperguna untuk kali kedua, jangan ulangi kesilapan yang merugikan kerana tersalah pangkah bukan saja bajet melayang, namun negara juga tidak stabil.- Malaysiapost
Penulis adalah wartawan politik
Artikel ini adalah pandangan penulis, tidak sememestinya mewakili pendirian Malaysiapost
