Top Five Umno tapis calon ‘besar kepala’ – Ahmad Zahid

0
1

KEPIMPINAN tertinggi atau ‘Top Five’ Umno akan memastikan calon yang dipilih bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah pemimpin yang mempunyai disiplin tinggi dan tidak ‘besar kepala’, kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, calon-calon Umno juga perlu berani mempertahankan parti daripada diperlekehkan, tidak bersuara sumbang terhadap kepimpinan sendiri, selain mempunyai sokongan akar umbi yang kuat tanpa mengira tempat bertanding.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata calon yang dipilih mesti benar-benar meletakkan perjuangan Umno dan BN di hadapan dan bukannya perjuangan individu melebihi parti.

“Mana-mana berkepala besar, berasa dirinya lebih besar daripada perjuangan parti sewajarnya tahu kedudukan dirinya.

“Ada yang ketika pembubaran Parlimen baru sedar bahawa dirinya sebenarnya milik parti, segala yang dinikmati termasuk jawatan yang pernah dipegang sebab atas dasarnya dirinya adalah ahli Umno, bukannya ahli atau mewakili suara Bersatu atau Pas mahu pun parti lain di luar,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, wakil rakyat yang terpilih nanti perlu mempunyai jati diri Umno yang teguh dan tidak mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang sentiasa mahu proksi memperkotak-katikkan Umno menggunakan suara pemimpin dalaman Umno.

“Sudah tibanya Umno yang mahu kestabilan dalaman parti dan memastikan tidak akan muncul suara-suara sumbang daripada Umno yang mengkritik parti sendiri selepas pilihan raya umum nanti.

“Ini bermakna pemilihan calon Umno pilihan raya kali ini sangat mustahak.

“Tugas ini amat mencabar bagi Top Five, namun bagi kestabilan politik masa depan, keharmonian parti, disiplin parti agar pisang tidak berbuah dua kali maka kali ini Umno amat serius bagi memastikan calon terbaik tersebut mempunyai jiwa dan roh Umno yang luhur,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Umno yang bersatu padu akan menunjukkan kebangkitannya dan akan mulai mencorak masa depan negara yang lebih baik.

Beliau berkata, kesepaduan itu dapat dilihat di majlis solidariti dan kemahiran di setiap negeri BN menjelajah dengan sambutan yang begitu bersemangat tinggi.

“Kelihatan wajah-wajah anak-anak muda bersama pemimpin pelbagai lapisan umur berdiri penuh semangat, bersedia berjuang dan mengembalikan mandat rakyat kepada BN.

“Majlis seumpama ini bukan sekadar ceremonial semata-mata. Akan tetapi lambang bahawa Umno bangkit kembali selepas belajar daripada kekalahan BN pada PRU 2018,” katanya.

Menurutnya, banyak yang telah dipelajari oleh BN daripada kekalahan pada 2018 itu, namun yang utama ia memberi kesedaran mengenai erti kesetiaan terhadap parti.

“Ketika itulah BN diuji apabila ramai pemimpin Umno lari lintang pukang menyelamatkan diri. Ada yang melompat parti, ada yang menjadi pengkhianat parti, terdapat juga menjauhi diri daripada Umno.

“Ini perit bagi Umno akan tetapi ia juga merupakan suatu hikmah kepada Umno,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu membolehkan pembersihan dalaman Umno berlaku secara automatik apabila golongan oportunis dapat dikenal pasti melalui sikap, kenyataan dan tindak tanduk mereka.

“Sekurang-kurangnya ini dapat menjadi petunjuk arah penting dalam konteks pemilihan calon BN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here