Khairy mungkin bertanding di Sungai Buloh

0
2
Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin melawat Pusat Penerima Vaksin (PPV) Stadium Bukit Jalil pada hari pertama PPV dibuka di sini hari ini.

PARLIMEN Sungai Buloh kemungkinan besar menjadi pilihan Khairy Jamaluddin untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Menteri Kesihatan itu yang masih tidak mendapat tempat untuk bertanding selepas mengumumkan tidak mempertahankan kerusi Parlimen Rembau, kini menjadi calon berpotensi Barisan Nasional (BN) untuk merampas Sungai Buloh daripada pembangkang.

Sumber dalaman Umno Bahagian Sungai Buloh memberitahu Malaysiapost, Khairy menerima sambutan yang baik di Sungai Buloh dan disukai akar umbi selain memiliki personaliti yang digemari rakyat.

“Khairy adalah tokoh yang popular dalam kalangan rakyat, terutama selepas sejauh mana beliau menguruskan pandemik Covid-19. Popularitinya akan mendapat undiannya,” kata sumber.

Menguatkan lagi spekulasi, Ketua Umno Bahagian Sungai Buloh, Datuk Megat Firdouz Megat Junid merupakan rakan rapat dan setiausaha politik Khairy sejak zaman beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Kata sumber, Umno Bahagian Sungai Buloh sebulat suara memberi laluan kepada Khairy bertanding di Sungai Buloh namun terdapat sedikit kesulitan apabila MIC turut mahu bertanding di kerusi berkenaan.

“Megat Firdouz adalah rakan rapat Khairy, ada sedikit masalah, perbincangan masih diadakan dengan MIC kerana mahu bertanding di Sungai Buloh walaupun tewas pada dua PRU sebelum ini,” kata sumber.

Sebelum ini, Parlimen Sungai Bulohdikenali sebagai Subang sebelum persempadanan semula, telah disandang oleh R. Sivarasa dari PKR selama tiga penggal.

Khairy tidak mempertahankan kerusi Parlimen Rembau yang disandangnya selama tiga penggal kerana memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di situ. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here