PENYANDANG kerusi Parlimen Damansara daripada DAP, Tony Pua, mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau menjelaskan keputusan tersebut dibuat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
“Malam ini, saya mengumumkan bahawa tidak akan bertanding dalam PRU akan datang.
“Pemimpin DAP ada cuba memujuk saya terus bertanding tapi ini keputusan saya yang sudah difikirkan bertahun-tahun untuk berundur (sebagai Ahli Parlimen),” katanya pada majlis makan malam pengumpulan dana Parlimen Damansara, malam tadi.
Menurut Tony, meskipun tidak bertanding, beliau akan terus membantu DAP bagi mencapai matlamat dan kemenangan dalam PRU15.
“Saya tahu kekuatan dan kelemahan saya. Saya akan gunakannya untuk manfaat parti mencapai matlamat dan bagi PRU kali ini, saya akan berperanan dalam jentera publisiti parti.
“Saya gembira untuk memberi sumbangan dalam dasar dan pelaksanaannya. Apabila kita menang sebagai kerajaan, saya akan membantu menteri DAP memperkasakan ekonomi dan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke meluahkan kesedihan atas keputusan Tony, namun tetap menghormatinya.
“Tony antara ahli Parlimen paling rajin di Malaysia yang melaburkan masa dan tenaga demi memajukan parti serta pemimpin tidak mementingkan diri yang mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Tony yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 berkecimpung dalam politik lebih 15 tahun. – Malaysiapost

