PRU15: Dr Radzi mahu cipta era baharu Putrajaya

0
1

DATUK Dr Radzi Jidin bertekad memberikan yang terbaik bagi memastikan perubahan berlaku dalam arena politik negara, bermula dari Putrajaya.

Menteri Kanan Pendidikan itu dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Dr Radzi, kepercayaan diberikan kepimpinan PN serta Bersatu merupakan penghormatan dan amanah yang akan beliau galas sebaiknya.

“Setelah berkhidmat sebagai menteri Kabinet dan menetap di Putrajaya, sedikit sebanyak permasalahan penduduk telah saya selami selain dikongsikan sendiri warga Putrajaya sama ada ketika program rasmi atau pertemuan biasa.

“InsyaAllah, dengan amanah diberikan oleh PN ini, saya akan perjuangkan suara warga Putrajaya dan ikhtiarkan sebaiknya demi kesejahteraan penduduk.

“Saya percaya dengan kerjasama dan dokongan seluruh jentera PN, tidak terkecuali setiap warga Putrajaya, kita semua mampu mencipta Era Baharu Putrajaya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Malam tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu sebagai calon gabungan itu bagi kerusi Parlimen Putrajaya pada PRU15.

Pada PRU14, Radzi bertanding di kerusi Parlimen Ketereh namun tewas kepada Tan Sri Annuar Musa sebelum dilantik sebagai Senator pada 17 Julai 2018.

Tengku Adnan Tengku Mansor dari BN memenangi Parlimen Putrajaya apabila menang majoriti 3,372 undi mengalahkan calon PAS, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here