PM rayu pelajar jangan jual PerantiSiswa

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merayu pelajar yang mendapat PerantiSiswa tidak menjual peralatan berkenaan yang diberikan secara percuma oleh kerajaan.

Beliau berkata, usaha kerajaan menerusi Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia itu untuk memudahkan pelajar dalam pembelajaran.

“Saya harap pelajar yang menerima peranti siswa jangan menjualnya, tujuan kita membantu mereka.

“Jadi tidak kesampaianlah hajat kita, …cita-cita kerajaan untuk membantu pelajar B40 ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Media City, Angkasapuri Kota Media.

Ismail Sabri mengulas kes tular di media sosial mengenai tindakan mahasiswa menjual PerantiSiswa jenis Samsung Galaxy Tab A8 LTE bersama beberapa aksesori diperoleh.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan 14 kes penjualan semula PerantiSiswa dikesan di seluruh negara dan pemantauan terhadap perkara itu sedang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau dilapor berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang menjual semula PerantiSiswa itu.

Menurut Ismail Sabri, sebelum ini memang ada kebimbangan kes penjualan peranti itu yang dibangkitkan Menteri Komunikasi dan Multimedia (Annuar).

“Sebelum ini, kerajaan bercadang bagi pinjam peranti itu yang mana selepas tamat belajar empat tahun dipulangkan kembali.

“Tapi kerajaan baik, kita bagi terus kerana tidak mahu menyusahkan mereka untuk memulangkan balik kerana apabila jadi hak mereka maka akan jaga dengan betul, ” katanya.

Diminta mengulas sama ada pelajar yang menjual peranti itu akan disenarai hitam, Ismail Sabri berkata perkara itu belum lagi dibincangkan dengan Menteri Pengajian Tinggi dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Perkara itu (senarai hitam) mungkin mereka (dua kementerian) akan tengok nanti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here