Kes demam denggi meningkat 125.8%

0
1
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

SEBANYAK 1,614 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan dalam tempoh 16 hingga 22 Oktober lalu, meningkat 9.3 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan berkenaan menjadikan kumulatif kes demam denggi terkini adalah 48,109 kes berbanding 21,308 kes bagi tempoh sama tahun 2021.

Katanya, ia merupakan peningkatan sebanyak 26,801 kes (125.8 peratus).

“Sebanyak 29 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 16 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2021, naik 13 kematian (81.3 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 51 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu tersebut berbanding 53 lokaliti pada minggu sebelumnya.

“Sebanyak 30 lokaliti hotspot di Selangor, 11 (Sabah), lapan (Kuala Lumpur dan Putrajaya) dan masing-masing satu di Kedah serta Melaka.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, kes chikungunya merekodkan sebanyak tujuh kes pada minggu yang sama dengan tiga kes di Pulau Pinang, dua kes dari Kuala Lumpur dan Putrajaya serta masing-masing satu kes dari Selangor serta Melaka.

“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 669 kes.

“Manakala bagi virus zika, sebanyak 1,619 sampel darah dan 16 sampel urin telah dijalankan dan kesemuanya negatif,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham meminta orang ramai memeriksa dan memusnahkan tempat berpotensi pembiakan nyamuk Aedes berikutan cuaca hujan dan panas yang berlaku sejak kebelakangan ini menjadi amat kondusif untuk nyamuk berkenaan membiak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here