PRU15: Zahida ingatkan rakyat jangan ‘cari penyakit’ pilih PH, PN

0
1

KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan mengingatkan rakyat supaya jangan ‘cari penyakit’ dengan memilih Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, sekarang bukan lagi masa untuk pengundi ‘bereksperimen’ kerana PH dan PN sudah diberi peluang untuk mentadbir negara, namun gagal.

“Semua sudah diberi peluang menjadi kerajaan. Akhirnya Barisan Nasional (BN) terbukti jauh lebih baik daripada mereka.

“Jangan kita ‘cari penyakit’ dengan pilih PH mahupun serpinan mereka PN pada PRU15 ini,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Zahida lagi, pada PRU14 lalu rakyat membayangkan sebuah kerajaan baharu yang bakal memacu Malaysia ke arah lebih baik, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

“Rupa-rupanya lain yang diharapkan, lain yang mereka dapat. Segala fakta tersimpan di Internet.

“Media melaporkan Syarikat pelaburan negara, Khazanah Nasional Bhd telah menjual kepentingan dalam tujuh firma asing termasuk Alibaba Group Holding Ltd bernilai kira-kira RM5.66 bilion (AS$ 1.36 bilion) dalam tempoh 16 bulan pertama PH menjadi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, hanya dalam tempoh satu tahun empat bulan PH mentadbir, mereka sudah berjaya menjual aset negara bernilai berbilion ringgit.

“Bab ni saya akui, PH ‘berjaya’, berjaya menambah pendapatan kerajaan dengan siri penjualan aset.

“Jelas mereka tiada hala tuju, gagal mengurus aset yang beri manfaat kepada rakyat. Apa yang mereka tahu hanya jual, jual, jual.

“Jual segala harta rakyat yang dikumpul oleh pentadbiran Barisan Nasional dahulu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here