DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berdiam diri berkaitan hasil siasatan Pasukan Petugas Khas (STF) terhadap buku memoir Tan Sri Tommy Thomas.
Perdana Menteri berkata, biasanya orang yang diam bersalah.
“Saya pun tidak tahu kenapa mereka diam…biasanya orang yang rasanya bersalah itu diam… biasanya.
“Saya pun tidak tahu dalam kes ini (kenapa) mereka diam…saya tidak tahu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan PH dan PN yang masih tidak mengulas hasil siasatan dan cadangan dikemukakan STF dalam laporan 225 muka surat hasil siasatan terhadap dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ .
Hasil siasatan STF kini didedahkan kepada awam apabila Kabinet menyahklasifikasikan hasil siasatan itu pada 13 Oktober lalu.
STF turut mengesyorkan Tommy disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1072.
Sebelum ini, media melaporkan STF telah membuat 37 sesi perbincangan dan telah mengenal pasti bidang utama dalam buku itu yang memerlukan siasatan.
Laporan awal mengariskan 19 dakwaan yang didedahkan dalm buku tersebut. Manakala laporan akhir siasatan dibuat dari 23 Disember 2021 hingga 25 Ogos 2022.
STF telah mengadakan perbincangan pihak-pihak berkepentingan iaitu 14 pihak meliputi jabatan dan individu perseorangan. – Malaysiapost

