Ben Ibrahim
BADAN Kebajikan Kerabat-kerabat Negeri Pahang membuat laporan polis terhadap penyandang kerusi Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang bertindak biadap menghina institusi diraja Pahang ketika berceramah di Mentakab, dekat Temerloh, baru-baru ini.
Jurucakap badan itu, Datuk Setia Penggawa Tengku Datuk Abdul Manan Tengku Temenggong Aziz berkata, perbuatan Tengku Zulpuri sangat melampau batas apabila mengaitkan istana Pahang dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Tengku Abdul Manan berkata, sebagai ahli politik perlu ada ada had dan batasan supaya tidak menimbulkan kebencian terhadap istana dan tidak mengguris hati dan perasaan rakyat Pahang.
“Kalau nak berpolitik kena berpolitik secara matang, jangan kaitkan istana dan kebawah duli Tuanku, kita berpegang kepada prinsip Rukun Negara- kesetiaan pada raja dan negara.
“Jadi kena faham nak cakap biar berlapik sebab sekarang ini semua terasa bila dia cakap macam ni, nak bercakap tu beradablah sikit,” katanya ketika ditemui media selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, hari ini.
Tengku Abdul Manan juga menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap ahli DAP itu supaya menjadi pengajaran kepada ahli politik lain.
Sebanyak 20 laporan polis dibuat badan bukan kerajaan NGO terhadap Tengku Zulpuri antaranya oleh Badan Kebajikan Kerabat Pahang, Pertubuhan Satu Kumpulan, Kelab Warga Peduli dan Pertubuhan Amal Tiara Kasih. – Malaysiapost

