“Golongan tauke dan pemberi rasuah ini ramai yang berkumpul dalam PH bagi membantu kemenangan PH” – Abdul Hadi

0
2

PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendakwa pemberi rasuah ramai ‘berkumpul’ dalam Pakatan Harapan (PH), manakala dalam Barisan Nasional (BN) pula pemimpinnya masih ada yang belum selesai isu pendakwaan salah laku dan penerimaan rasuah.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan PH perlu ditentang dan BN pula perlu jernihkan serta dibersihkan terlebih dahulu, baik di peringkat atasan mahupun bawahan.

“Kita menentang kemungkaran rasuah yang dilaknat itu bukan hanya kepada penerima rasuah sahaja, malah kita juga turut menentang tauke atau pemberi rasuah yang sama-sama dilaknat sebagaimana yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW.

“Golongan tauke dan pemberi rasuah ini ramai yang berkumpul dalam PH bagi membantu kemenangan PH. Bagaimana PH boleh mengatakan kononnya mereka menghantar mesej yang jelas untuk menentang amalan rasuah, namun pada masa yang sama, mereka boleh pula menerima sumbangan si pemberi rasuah?” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, tambahan pula, PH seolah-olah melihat hanya semata-mata rasuah itu sahaja sebagai satu bentuk kemungkaran yang perlu dicegah, namun sebaliknya, membiarkan jenis-jenis kemungkaran yang lain membarah seperti pemikiran liberalisme, sosialisme, hubungan sejenis, dan banyak lagi.

“Adapun BN pula, dalam kalangan pemimpin tertinggi mereka, masih ada yang belum selesai isu pendakwaan salah laku dan penerimaan rasuah.

“Inilah kekeruhan yang perlu kita jernihkan dan bersihkan terlebih dahulu, baik di peringkat atasan mahupun bawahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here