14 kes jual Perantisiswa dikesan

0
1

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM) menerima 14 aduan berhubung tindakan penerima Perantisiswa Keluarga Malaysia menjual peranti berkenaan secara atas talian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya mengesan peranti berkenaan diiklankan untuk jualan atas talian dengan harga RM800 hingga RM1,000.

“Saya ingin menzahirkan rasa terkilan, dukacita dan kecewa apabila mendapat maklumat dan aduan terdapat penerima Perantisiswa yang telah mula menjual peranti mereka dan ada sebahagian daripadanya menjual secara terbuka atas talian.

“Saya fikir ini adalah satu tindakan yang sangat tidak wajar dan Kementerian sebagai agensi pelaksana memandang serius tentang perkara ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, penerima peranti berkenaan sudah membuat aku janji sewaktu membuat permohonan dan menerimanya, maka menjualnya bererti telah melanggar aku janji ada langkah tertentu yang boleh diambil.

“Ini termasuk memaparkan nama mereka secara terbuka untuk pengetahuan umumumum sama ada di portal Perantisiswa dan memaklumkan kepada pihak universiti berkaitan.

“Peranti berkenaan sewaktu ianya mula ditempah ia mempunyai aplikasi tertentu terbina (built in) termasuk sistem pengesan di dalamnnya dan kita boleh tahu peranti itu berada di mana, sama ada di kampus atau di tempat lain serta digunakan oleh pihak lain,” katanya.

Annuar berkata, daripada 14 kes telah dilaporkan, beberapa peranti yang terbabit telah disekat penggunaannya dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Saya ingin merayu kepada pemerima Perantisiswa agar tidak menjual peranti yang diberikan kepada mereka, kerana itu adalah amanah rakyat daripada dana rakyat diberikan atas andaian dan kepercayaan mereka memerlukan peranti sedemikian serta mereka tidak berkemampuan untuk membelinya.

“Jadi tidak timbul isu mereka perlu menjualnya untuk membeli peranti yang lain sebab sudah dimaklumkan apa spesifikasinya. Kalau peranti itu tidak memenuhi keperluan mereka sepatutnya dari awal tidak memohon,” katanya.

Beliau berharap, penerima peranti berkenaan menghentikan tindakan ingin menjualnya serta merta supaya program berkenaan tidak terhenti hingga menyusahkan penerima lain yang memerlukan peranti berkenaan.

“Jangan kerana satu dua kes yang melanggar peraturan yang lain nanti menerima kesusahan iaitu pengagihan peranti ini dihentikan.

“Walaupun jumlahnya kecil hanya 14 kes, kita beri peringatan awal supaya jangan berbuat demikian dan harus mensyukuri program yang baik ini dan janganlah sampai kita jual barang kerajaan.

“Mereka yang ingin membeli pula saya ingatkan jangan beli Perantisiswa sebab ia bukan untuk dijual beli,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here