Feri bawa 547 penumpang ke Langkawi tersadai akibat air laut surut

0
1

SEBUAH feri yang membawa 547 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi tersangkut di tebing lumpur akibat air laut surut di perairan jeti Kuala Kedah petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 4.55 petang.

Katanya, berdasarkan maklumat panggilan, seramai 547 individu terdiri daripada penumpang dan kru feri dilaporkan terkandas akibat kejadian.

“Setibanya di lokasi, kita dapati feri yang dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi tersadai di beting lumpur dan tidak dapat bergerak.

“Ketika ini pihak kami bersama Maritim Malaysia, Jabatan Laut dan nelayan tempatan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, beberapa penumpang feri dilaporkan mengalami sesak nafas.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya sudah memberi bantuan awal ‘pemindahan perubatan’ (MEDEVAC) menggunakan bot pada jam 5.37 petang.

Katanya, aset APMM membabitkan Bot Perkasa 1224 Maritim Malaysia dengan dibantu beberapa bot nelayan tempatan berikutan hanya bot kecil saja boleh rapat di feri berkenaan dalam usaha membawa keluar penumpang.

Noor Azreyanti berkata, sehingga kini proses membawa keluar semua penumpang feri masih giat dilakukan.

“Maritime Resque Sub Centre (MRSC) Langkawi juga turut dimaklumkan dan koordinasi lanjut sedang dilaksanakan bagi memastikan semua penumpang selamat dipindahkan ke darat.

“Perkembangan semasa kejadian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here