Bayi lelaki yang diselamatkan selepas ibunya kemalangan mengelak ular, meninggal dunia.

0
2

BAYI lelaki yang berjaya diselamatkan menerusi pembedahan selepas ibunya meninggal dunia akibat kemalangan ketika mengelak ular melintas di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang, Jalan Jeniang-Sik-Pedu, meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan datuknya, Mansor Adali, 51, yang memaklumkan bayi diberi nama Muhammad Irfan Hidayat Afnan Aliff itu meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, kira-kira jam 2 petang tadi.

Beliau berkata, jenazah bayi berusia empat hari itu akan dibawa ke rumahnya di Bandar Beris Jaya, di Sik.

“Saya sempat menatap wajah cucu yang sangat berseri walaupun sudah tidak bernyawa lagi dan doktor sudah berusaha menyelamatkan nyawanya tetapi Allah lebih menyayanginya.

“Jenazah cucu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beris Jaya, sejurus selepas segala urusan di hospital selesai,” katanya dipetik Harian Metro.

Mansor berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian anak dan cucunya dalam kejadian itu yang dianggap kehilangan sekelip mata.

Katanya, jenazah dijangka dikebumikan bersebelahan pusara ibunya, Nor Hidayah Abdullah, 27, yang meninggal dunia Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 petang Rabu lalu, Nor Hidayah yang sarat mengandung anak kedua meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya bersama remaja perempuan berusia 16 tahun bergesel dengan sebuah kereta PERODUA Axia yang dipandu seorang wanita.

Mangsa dikatakan cuba mengelak ular melintas ketika kejadian menyebabkan dia terjatuh dan meninggal dunia di lokasi.

Bagaimanapun, bayi dalam kandungan wanita itu berjaya diselamatkan menerusi pembedahan di hospital pada hari kejadian. – Malaysiapost

Foto kredit: BH Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here