Pelantikan hakim zaman PH tidak ikut undang-undang – Shahril Hamdan

0
1

PENDEDAHAN laporan Pasukan Petugas Khas berhubung dakwaan dalam buku Tan Sri Tommy Thomas mengesahkan pelantikan jawatan tertinggi institusi kehakiman negara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak mengikut undang-undang.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan, berkata menurut laporan itu, Peguam Negara lantikan era Pakatan PH juga terbabit dalam pelbagai tindakan meragukan.

“Pelantikan pemegang jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara pada Julai 2018 adalah individu yang dipersetujui dalam perbincangan sulit antara Tommy dan Tun Dr Mahathir Mohamad .

“Ia pelantikan untuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

“Nama-nama tersebut berbeza daripada pilihan Suruhanjaya Pelantikan Hakim,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Shahril, tindakan itu bercanggah dengan peruntukan undang-undang khususnya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman iaitu Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk memilih calon hakim untuk mahkamah terbabit.

Sebaliknya, beliau berkata, sebarang nama yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hendaklah berasaskan cadangan dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Katanya, Perdana Menteri boleh memohon untuk mengemukakan beberapa nama lain untuk sesuatu kekosongan, tetapi hendaklah daripada kalangan senarai terbabit bukan pilihan sendiri bersama Peguam Negara.

“Selain itu, laporan pasukan khas turut menegaskan, Peguam Negara bukan ahli Suruhanjaya maka tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk mencadangkan mana-mana nama kepada Perdana Menteri.

“Ini bukan persoalan integriti mana-mana hakim yang dilantik pada 2018, jauh sekali mempersoal keabsahan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Menurut Shahril, laporan itu membongkarkan satu lagi kegagalan dan penipuan PH.

“Konon mereka (PH) bersih. Lebih reformis. Lebih ikhlas. Lebih ‘rakyat’. Mereka tuduh Umno hendak menang sebab mahu campur tangan kes mahkamah. Mahu percaya lagikah?

“Ini perjuangan politik dendam. Mereka benci segala yang berkait dengan Umno, dengan Barisan Nasional (BN). Mereka mengajak rakyat turut sama benci untuk kepuasan hati dan nafsu mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here