KPM sedang usaha percepatkan keluar silibus baru mata pelajaran – Dr Radzi Jidin

0
1

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memberi jaminan silibus mata pelajaran di sekolah akan ditambah baik bagi memastikan ianya terus relevan untuk pembelajaran murid. 

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya sentiasa menerima pandangan semua pihak bagi memastikan silibus setiap mata pelajaran sesuai untuk pembelajaran murid selaras dengan peredaran zaman. 

“Sebab itu kita kata kita sedang teliti apa yang ada dalam silibus pada hari ini, sebab pusingan yang bermula 2017 itu dah sampai ke hujung dan kita dah dapat lihat penambah baikan yang kita boleh laksanakan.

“Insyallah kita sedang dalam proses penambahbaikan, kita ada pelbagai perbincangan untuk pastikan silibus ini terus relevan pada anak-anak kita dan kita ambil kira pandangan ibu bapa, guru-guru dan pihak yang berkaitan,” katanya. 

Beliau berkata dalam program bual bicara di TV3 yang disiarkan secara langsung, petang tadi. 

Menjelaskan mengenainya, Dr Radzi berkata, silibus yang digunakan pada tahun ini sama ada di sekolah rendah atau pun di sekolah menengah, mula digunakan pada tahun 2017.

“Di mana ia digunakan buat pertama kali untuk murid tahun satu pada tahun 2017 dan tingkatan satu pada tahun tersebut. 

“Sekarang ini murid itu sudah berada di tahun enam pada tahun 2022, dan murid tingkatan satu itu sudah tamat satu pusingan pada tingkatan 5 tahun lepas yang pertama kali menggunakan kaedah baru dalam SPM 2021.

“Pusingan silibus ini telah tamat untuk sekolah menengah dan akan tamat untuk sekolah rendah. 

“Untuk silibus 2017 ini pembinaannya bermula 2014, mengambil masa tiga tahun,” katanya. 

Dr Radzi berkata, beliau telah meminta KPM untuk mempercepatkan proses penyediaan silibus selain memastikan ianya menepati segala senap perubahan yang berlaku dalam dunia bagi memastikan silibus itu sentiasa relevan untuk murid. 

“Namun begitu, apabila saya masuk ke kementerian, saya minta dilihat kembali bagaimana kita boleh percepatkan usaha untuk membina silibus supaya silibus ini tak ketinggalan dengan perubahan semasa. 

“Dalam konteks ini banyak perkara berlaku, kerana dunia berubah dengan cepat, keadaan luar sana berubah dengan cepat, industri berubah dengam cepat. 

“Sekiranya silibus kita ini tidak mengambil kira perkembangan dalam industri kiranya terdapat perubahan baru dalam industri, maka anak-anak yang keluar dari sistem ini mungkin akan ketinggalan.

“Sebab itu kita usahakan supaya silibus ini reviewnya atau pun penyelarasan kembali silibus ini kita dapat percepatkan,” katanya. 

Bagaimanapun, Dr Radzi berkata, terdapat beberapa kekangan dalam menghasilkan silibus baru ini seperti penyediaan kandungan baru buku teks sekolah yang harus diambil kira. 

“Kita sedar di luar sana, terima kasih diucapkan ibu bapa yang mengemukakan pelbagai cadangan, pelbagai pandangan berkaitan dengan silibus ini. 

“Namun ianya ada proses-proses perlu diambil kira kerana sebarang perubahan silibus ini akan melibatkan apa yang dipanggil DSKP (Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran) ini yang menjadi asas setiap mata pelajaran, kemudian ia ada buku teks yang datang dengannya juga pendaftaran penjelasan kepada guru-guru yang terlibat. 

“Maka dalam setiap kali nak buat perubahan ini perkara ini kita perlu ambil kira. Kerana nak sediakan buku teks baru dan sebagainya mengambil masa,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here