Anwar jadi PM Ke-10 jika pengundi lakukan ‘keajaiban politik’ – Kit Siang

0
1

VETERAN DAP, Lim Kit Siang menyokong matlamat Pakatan Harapan (PH) untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Kit Siang juga mengakui usaha untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10 merupakan cabaran terbesar kepada PH dalam mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Justeru, saya menyeru pengundi dalam negara dan di Diaspora Malaysia di seluruh dunia, untuk bersatu hati dengan matlamat yang satu ini. Slogan baharu kita adalah: ‘Kita Boleh!’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kit Siang berkata, matlamat PH menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10 adalah satu cabaran yang sangat besar, sepertimana usaha menumbangkan hegemoni politik Umno-BN pada PRU-14 lalu.

Namun, katanya perkara itu boleh direalisasikan jika pengundi melakukan satu lagi ‘keajaiban politik’ dalam PRU15 pada 19 November ini.

“PRU15 akan menentukan sama ada kita akan terus ke hadapan dengan aspirasi Impian Malaysia untuk Malaysia Baharu atau kita kembali kepada hala tuju kleptokrasi, kakistokrasi dan menjadi negara gagal dalam beberapa dekad akan datang.

“‘Keajaiban politik’ 9 Mei 2018, bagaimanapun, bukanlah kegagalan sepenuhnya – jika tidak Najib tidak akan berada dalam penjara hari ini,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, rakyat perlu menyatakan dengan lantang dan jelas dalam PRU15 bahawa mereka tidak mahu Malaysia menjadi kleptokrasi global.

“Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, (hanya) mahu menjadikan PRU15 sebagai pertempuran untuk memastikan pemimpin Umno dan BN tidak didakwa di mahkamah kerana rasuah dan dihantar ke penjara,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here