PH calonkan pemimpin terpalit kes mahkamah

0
1

SEORANG pemimpin PKR menzahirkan kekecewaan terhadap pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang menamakan Muhammad Faiz Fadzil sebagai calon di Parlimen Tampin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Yuslaini Azmi yang juga Setiausaha PKR Batu, terkilan dengan tindakan itu kerana menurutnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu masih mempunyai kes mahkamah berkenaan gangguan seksual.

“Seperti sedia maklum, ahli politik berkenaan (Muhammad Faiz) masih mempunyai kes mahkamah berkenaan gangguan seksual yang dijangka akan dibicarakan bermula 6 hingga 9 Disember ini.

“Walaupun saya yang melakukan laporan terbabit tahun lepas, serangan demi serangan telah dilakukan terhadap diri saya dengan menuduh saya gila, cubaan menjatuhkan karier politik beliau dan sebagainya.

“Malah ada juga cubaan memaksa saya menerima peguam dari parti AMANAH semenjak tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mendakwa, kini terbukti sebaliknya yang berlaku dan hanya pihaknya yang disisihkan pucuk pimpinan parti kerana kes tersebut, malah ada juga sebaran dalaman menyatakan kes tersebut tiada tindakan lanjut (NFA) walaupun ia masih berjalan.

“Saya hairan dengan sikap Majlis Presiden PH yang menamakan beliau sebagai calon sedangkan beliau kini adalah ADUN Permatang Pasir dan sedang berhadapan isu mahkamah.

“Walaupun perbicaraan masih belum berjalan tetapi ia memberi persepsi dan imej tidak baik kepada PH khususnya.

“Saya sendiri juga menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan parti kerana sedar sedang berhadapan isu di mahkamah dan perlu membersihkan nama saya hanya kerana semenjak laporan dilakukan serangan demi serangan telah dilakukan pada diri saya sebelum ini,” katanya.

Yuslaini berpendapat, pimpinan AMANAH perlu meletakkan calon yang tiada kes di mahkamah dan membuktikan beliau memang tidak bersalah di mahkamah barulah sibuk masuk bertanding di pilihan raya.

“Apakah ini konsep rahmatan lil alamin yang dilaungkan oleh parti AMANAH?

“Sebagai pengadu, saya pastinya terkesan dengan perkembangan ini kerana sehingga sekarang yang menerima impak negatif adalah diri saya.

“Para pemimpin PH diam menikus tentang isu gangguan seksual tersebut malah hanya sekadar memberi tekanan emosi dan psikologi kepada saya dengan meletakkan pelaku sebagai calon PH,” katanya.

Terdahulu media melaporkan AMANAH menamakan tiga calon untuk bertanding di tiga kerusi Parlimen di Negeri Sembilan, termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan Datuk Zulkefly Omar bagi kerusi Parlimen Jelebu.

Calon lain adalah Ketua Wanita AMANAH Negeri Sembilan, Norwani Ahmat di Parlimen Jempol dan ADUN Permatang Pasir (Pulau Pinang), Muhammad Faiz Fadzil bagi kerusi Tampin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here