KHAIRY Jamaluddin memberi bayangan bakal bertanding di kerusi Parlimen yang disandang bukan daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Walaupun BN masih belum muktamadkan senarai calonnya yang bertanding pada PRU15, Khairy mengesahkan kemungkinan besar beliau bertanding kawasan Parlimen yang dimenangi parti lawan sebelum ini.
“Hampir sudah pasti saya akan dihantar ke kawasan yang dipegang oleh parti lawan dan hampir pasti tidak akan mendapat kerusi yang dianggap sebagai kerusi selamat,” katanya kepada media selepas menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban di Seremban hari ini.
Menteri Kesihatan itu sebelum ini adalah penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal, namun memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi itu.
Bagaimanapun, Mohamad memberi jaminan akan mencari tempat sesuai untuk Khairy bertanding dalam PRU15 dan tidak akan membiarkannya ‘hilang’ begitu sahaja kerana beliau adalah pemimpin muda berkaliber.
Ditanya sama ada kerusi berkenaan adalah di Negeri Sembilan, Khairy yang enggan mendedahkan perkara itu.
“Pelbagai negeri, masih belum ada keputusan akhir. Kita tunggu.”
“Kita semua kena main peranan untuk parti. Kalau semua pergi ke kawasan selamat dan kita tak akan dapat membawa agenda kita secara luas. Jadi kena ada juga yang sanggup pergi ke (kawasan) mungkin sebelum ini kita tidak menang,” katanya. -Malaysiapost

