KEMENTERIAN Luar Negeri sewajarnya mengemukakan nota bantahan berhubung isu penglibatan ejen risikan Israel dalam penculikan warga Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan haram Israel melakukan ‘terrorisme’ di negara ini.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Malaysia perlu mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan haram Israel dalam isu penculikan itu dan membawa isu tersebut ke medan antarabangsa.
“Isu ini sangat serius kerana membabitkan negara asing terutamanya negara Israel yang sememangnya Malaysia tidak ada hubungan diplomatik.
“Israel merupakan musuh kepada negara luar kerana dasar kezaliman dalam isu hak asasi manusia dan bukan soal agama semata-mata,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, tindak tanduk Israel dalam isu penculikan tersebut jelas tidak menghormati kedaulatan negara Malaysia.
Katanya, malah dari satu segi seolah-olah Israel mencabar kedaulatan negara dan merupakan ancaman kepada Malaysia.
“Bayangkan orang awam biasa yang tidak berdosa boleh tercedera atau berlakunya kematian dengan operasi haram di negara kita, jika terus berterusan operasi haram mereka,” ujarnya.
Dalam masa sama, menerusi isu penculikan yang berlaku ia bermakna Israel juga mempunyai aset risikan di negara ini dan harus dibanteras segera.
Justeru, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu membuat kenyataan yang lebih menyeluruh dan bukan hanya di peringkat baru meneliti.
Ujarnya, ianya kerana mempunyai mekanisme yang efisien dalam sistem keselamatan negara.
“Sudah tentu 32 juta rakyat Malaysia sedang tertunggu-tunggu langkah kerajaan bagi menangani situasi ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang dan pihak yang terlibat dengan perisikan asing yang berniat jahat diambil tindakan yang tegas tanpa kompromi.
“Setinggi-tinggi syabas diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya menumpas penculikan warga asing oleh agen perisikan asing,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mempertingkatkan dari aspek kawalan keselamatan dari pelbagai akibat ancaman Israel terhadap pemimpin pejuang Palestin di negara ini.
Pada 14 Oktober lalu, seramai 11 individu termasuk seorang wanita dihadapkan di mahkamah atas dakwaan menculik seorang warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit, bulan lalu.
Mereka didakwa dengan niat bersama menahan Omar Z M Albelbaisy Reeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat untuk membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.
Semalam, NST dalam laporannya mendakwa ejen Mossad memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam. – Malaysiapost

