PEMUDA Barisan Nasional (BN) bersedia menjadi ‘orang pertama’ turun ke lokasi jika berlaku perkara tidak diingini seperti banjir sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jaminan itu diberikan Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika hampir semua parti lawan mempersoalkan PRU15 diadakan menjelang hujung tahun, ketika musim tengkujuh.
Asyraf Wajdi berkata, Pemuda BN akan menggerakkan semua jentera peringkat akar umbi secara bersama di Semenanjung jika berlaku bencana tersebut.
“Pemuda Umno, MIC dan MCA mesti berada di barisan hadapan untuk kita berhadapan atau menangani sebarang kemungkinan jika berlaku banjir pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pemuda BN di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.
Mesyuarat itu antara lain membincangkan mengenai persiapan pergerakan itu menghadapi PRU15 serta gerak kerja kemungkinan jika berlaku perkara tidak diingini seperti banjir. -Malaysiapost

