DAP menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat seolah-olah mempersenda Perlembagaan negara apabila mendakwa kenyataannya mahu memecat 12 Menteri Kabinet sebagai gurauan.
Pengerusinya Lim Guan Eng, berkata pemecatan menteri dan pembubaran Parlimen adalah satu tindakan berat dan serius yang melibatkan Agong dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, kedua-dua tindakan itu harus berpaksikan rakyat dan kepentingan negara yang lebih baik, bukan dipermainkan secara tidak bertanggungjawab sebagai gurauan.
“Tiada siapa yang dapat memahami logik pelik Ismail Sabri bahawa 12 menteri PN (Perikatan Nasional) yang masih berada dalam kabinet bermakna dia hanya bergurau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden Umno itu dilaporkan berkata beliau sepatutnya memecat semua 12 menteri yang menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meminta supaya tidak dibubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat.
Dua belas menteri itu membabitkan Ahli Parlimen dari PN.
Menurut Guan Eng tindakan Ismail Sabri itu menunjukkan beliau keliru serta tidak jujur kerana membuat pusingan U beberapa kali.
Beliau berkata, pada 11 Oktober lalu, Ismail Sabri menyalahkan 12 menteri PN kerana menghantar surat kepada Agong, namun menyatakan sebaliknya dua hari kemudian dengan mendakwa mereka hanya mengikut arahan pemimpin parti.
“Pada 17 Oktober, Ismail Sabri membuat pusingan U kedua dengan berkata beliau sepatutnya memecat 12 menteri PN, dan kemudian pada 19 Oktober, membuat pusingan U ketiga dengan mengatakan hanya bergurau mengenai pemecatan itu.
“Adakah Ismail Sabri layak menjadi Perdana Menteri dengan membuat tiga pusingan U dalam tempoh satu minggu?” katanya.
Guan Eng turut menyelitkan serangkap lagu “I was only joking” nyanyian Rod Stewart:
I was only joking my dear (my dear)
Looking for a way to hide _my fear (my fear)
What kind of fool was I? (Was I)
I could never win (never win) – Malaysiapost

