PENYANDANG kerusi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik kekal mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bekas Menteri Pendidikan terbabit mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Dr Maszlee berkata, beliau telah menerima amanat bagi mempertahan kerusi Parlimen Simpang Renggam daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi.
“Pagi ini saya sudah menerima amanat dan pertanggungjawaban daripada Presiden PKR serta Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
“Pertahankan Parlimen Simpang Renggam dengan apa harga sekalipun demi Malaysia dan masa depan pendidikan negara,” katanya yang turut memuat naik gambar bersama Anwar.
Pada PRU14, Dr Maszlee yang mewakili PKR menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Liang Teck Meng dengan majoriti 3,475 undi.
Teck Meng mendapat undian 14,682, manakala Maszlee dengan 18,157 undi, manakala calon PAS, Mohd Jubri Selamat pula hilang deposit apabila hanya memperoleh 2,983 undi. – Malaysiapost

