SEGALA bantuan dan inisiatif menerusi Bajet 2023 hanya dapat direalisasikan jika kerajaan Keluarga Malaysia diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini supaya bajet tersebut dapat dibentangkan sekali lagi dan diluluskan di Parlimen.
Ismail Sabri berkata, Bajet 2023 berjumlah RM372.3 bilion yang dibentang pada 7 Oktober lalu, adalah bajet terbesar dalam sejarah negara yang memfokus kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan Kerajaan.
“Daripada jumlah itu, katanya, RM1 bilion diperuntuk bagi program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) untuk penuhi sasaran Sifar Kemiskinan Tegar pada akhir 2025.
“Bantuan Keluarga juga terus ditambah dengan peruntukan sebanyak RM7.8 bilion yang memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima.
“Ini bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara yang menyaksikan Ketua Isi Keluarga yang berpendapatan bawah RM2,500 dan mempunyai lima anak atau lebih akan menerima bantuan RM2,500,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata setiap lapisan masyarakat dari B40, M40, warga emas, belia, peniaga, petani, OKU, murid sekolah sehinggalah ibu hamil menjadi fokus dalam bajet tersebut.
“Ia membuktikan tiada sesiapa yang dipinggirkan,” katanya lagi. – Malaysiapost

