Felda bukan lagi kubu kuat Umno dan BN

0
1

PKR dan Pakatan Harapan (PH) sudah membuktikan mampu menawan dan mendapat mandat daripada warga Felda dengan memenangi kerusi Parlimen Sekijang yang mempunyai lima Felda dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Timbalan PKR Rafizi Ramli berkata, ia juga adalah sejarah buat negara apabila pertama kalinya kawasan Felda dimenangi oleh PH selepas selama ini menjadi kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Dalam sejarah negara kita hanya sekali sahaja iaitu dalam PRU yang lalu kerusi yang ‘pekat’ Felda…ada lima Felda di Sekijang berjaya dirampas.

“Ramai kata PKR hanya kuat di bandar di Felda tak menang. Mereka lupa bahawa sebenarnya kita telah rampas salah satu kerusi yang dikira mustahil untuk menang iaitu Sekijang dan yang merampasnya adalah seorang calon wanita daripada PKR,” katanya ketika berucap di Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Parlimen Sekijang, Segamat malam tadi.

Beliau berkata, ramai penyokong PH menyuarakan kebimbangan sokongan terhadap gabungan itu berkurangan kerana dikatakan gagal menunaikan apa dijanjikan dalam PRU-14 hingga digulingkan dan tewas dalam beberapa pilihan raya.

“Ramai takut adakah kali ini kita akan dapat lihat sekali lagi seperti 2018 selepas apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

“Semua orang kata kamu dah kalah besar di Johor dan Melaka. Pandangan saya yang menang pada 2018 bila kerajaan bertukar, bukan parti politik bukan PH yang menang.

“Pemenang paling besar dan kesannya nampak sampai hari ini ialah seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, ia kerana sampai hari ini tidak ada parti yang boleh beritahu yakin menang pilihan raya.

“Sebab selepas 2018 rakyat tahu bahawa tauke, bos sebenar negara ini ialah rakyat biasa.

“Siapa buat ‘sial’ buang..siapa letak calon yang tak baik, tak kisah dia datang daripada parti mana parti kita (PH sendiri pun. Kalau letak juga calon yang orang tak suka yang tak melambangkan aspirasi rakyat biasa, jangan undi dia,” katanya.

Rafizi bagaimanapun yakin gelombang yang dilihat pada 2018 itu sedikit demi sedikit telah kembali beralih semula kepada PH.

Sementara itu beliau berjanji, jika PH berjaya mendapat mandat rakyat dalam PRU-15, kerajaan yang dibentuk kelak akan mengubah nasib generasi Felda secara besar-besaran.

“PH akan gerakan susun ataur penggunaan tanah pertanian di negara ini bermula dengan tanah-tanah Felda. Dari satu peringkat ke satu peringkat kita tukar secara besar-besaran untuk mula menukar daripada tanaman kelapa sawit kepada tanaman makanan untuk menggantikan import makanan.

“Segala peruntukan, kepakaran, tenaga dan tumpuan kerajaan ialah untuk membantu merencanakan kembali aktiviti ekonomi di kawasan Felda. Sebab Felda yang paling banyak tanah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here