LIM Kit Siang mendakwa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih gagal menjelaskan bagaimana ucapannya di Perhimpunan Agung MIC pada 10 Oktober lalu dikatakan diputar belit.
Veteran DAP itu berkata, Ahmad Zahid tidak dapat menjelaskan apa yang dimaksudkannya nasib pemimpin Umno dan BN akan menjadi “lebih buruk berbanding dengan pilihan raya yang lalu”, sekiranya BN gagal untuk membentuk kerajaan.
Beliau berpendapat, apa yang sudah berlaku sebenarnya adalah Presiden Umno itu sendiri yang memutar belit ucapannya.
“Mana-mana orang waras yang menonton ucapan Zahid ini dapat melihat dengan jelas yang perbuatannya menamakan seorang demi seorang pemimpin Umno dan BN sebagai suatu perkara yang serius, yang menunjukkan Zahid tahu mengenai kesalahan mereka sehingga mereka berada dalam “senarai menunggu” untuk didakwa di mahkamah.
“Zahid perlu menjelaskan sama ada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dan Presiden serta Timbalan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Datuk Seri M Saravanan sedang berada dalam “senarai menunggu” untuk didakwa di mahkamah.
“Dan jika ya, atas kesalahan apa dan dalam “senarai menunggu” siapakah mereka ini – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak polis, atau Pejabat Pendakwa Raya?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kit Siang berkata, Ahmad Zahid tidak boleh mengambil ringan ucapannya di Perhimpunan MIC itu dan sebaliknya perlu menjelaskan niat dan makna sebenar ucapannya memandangkan ia adalah ‘pengisytiharan perang’ Umno dan BN untuk PRU-15.
“Atau adakah Zahid hanya menceritakan satu penipuan dalam ‘pengisytiharan perang’ Umno dan BN untuk PRU-15 ini, dan bahawa apa-apa yang dikatakannya sepatutnya tidak dipandang serius?” katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini, mendakwa lawan BN menggunakan taktik menghasut ketika PRU-15 menjelang tiba sama seperti digunakan dalam PRU-14 pada 2018.
Menurutnya, antara hasutan terbaru adalah mengenai pendakwaan politik dengan ucapannya pada Perhimpunan MIC diputar belit dan diambil sekerat-sekerat dijadikan bahan fitnah.
“Intipati sebenar ucapan saya, pemimpin BN berisiko dikenakan pendakwaan politik jika lawan BN menang PRU-15. Walaupun terdapat rakaman video ucapan dalam konteks sebenar, mereka tetap meneruskan putar belit,” kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata, kesimpulannya rakyat perlu berhati-hati apabila didatangi hasutan musuh BN dengan mengkaji dan meneliti sebelum menghadamnya. – Malaysiapost

