Khaled nasihat Abdul Hadi jaga akhlak

0
1

NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihati Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya menjaga akhlak sebagai tokoh yang dilihat membawa imej agama.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS itu semalam, berhubung alasan PAS menolak kerjasama dengan Umno termasuk mengaitkan parti itu dengan ‘kekeruhan’.

Mohamed Khaled berkata, beliau percaya kenyataan diberikan Abdul Hadi itu hanyalah alasan untuk mewajarkan langkah tersebut.

“Pada saya itu hanya satu alasan. Kalau kata parti Umno ‘keruh’, buat apa (PAS) ambil usaha bertemu dan mencari? Dua kali dia (PAS) mencari Umno,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Abdul Hadi tidak wajar melabelkan Umno dengan ungkapan seperti ‘keruh’ serta beberapa perumpaan lain.

“Ini tidak menunjukkan akhlak yang baik sebagai orang yang dikatakan membawa agama dalam perjuangan. Mana akhlak? Tolonglah jaga akhlak,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, ketika Umno digambarkan secara negatif oleh Abdul Hadi, sebenarnya PAS merupakan parti yang memulakan langkah untuk berbaik-baik sebelum ini.

“Umno tak pernah cari PAS, (sebaliknya) PAS yang cari Umno,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi menganggap kerjasama yang dijalin PAS dengan Umno serta Barisan Nasional (BN) ibarat ‘durian mentah’ yang boleh menyebabkan seseorang mengalami perut kembung jika dimakan.

Abdul Hadi yang menjelaskan alasan mengapa PAS memilih Perikatan Nasional (PN) berbanding menjalin kerjasama dengan BN berkata, ini kerana partinya tidak dapat menerima Umno yang ‘keruh’.

“Kita (PAS) tak bersama dengan BN kerana ada ‘keruh’, keruhnya masih ada penerima rasuah. Lepas tu rakus pula nak perintah lagi. (Padahal) kita baru tolong bantu jatuhkan PH,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here