DUA termasuk seorang wanita patah kaki, sementara empat lagi selamat apabila lif dinaiki mereka jatuh dari tingkat lapan di sebuah blok kondominium di Lengkok Thamby Abdullah, Brickfields, malam tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK I) Rozman Abd Rashid berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 9.52 malam tadi.
Katanya,seramai 11 anggota daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Hang Tuah digegaskan ke lokasi kejadian selepas panggilan tersebut.
“Menurut mangsa yang terlibat, lif tersebut jatuh dari tingkat lapan sehingga ke tingkat bawah tanah (GF).
“Mangsa seramai enam orang iaitu tiga wanita, dua lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rozman berkata, seorang wanita dan seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan patah di bahagian kaki.
“Semua mangsa yang terlibat telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

