TINDAKAN beberapa pemimpin meninggalkan Umno selepas parti itu tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan menjadi pengajaran mendewasakan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu, berkata ketika itu kumpulan tersebut juga mengugut beliau supaya meletak jawatan sekiranya tidak mahu melihat 10 lagi pemimpin parti menyertai mereka dengan keluar daripada Umno.
“Ini sebuah peristiwa kira-kira empat tahun lalu. Sebuah kisah yang berlaku beberapa bulan selepas Umno tertewas PRU14 angkara fitnah dan tipu daya.
“Kisah pada Disember 2018 ini antara peristiwa yang masih dingati semua. Beberapa pemimpin Umno keluar parti atas sebab yang semua sedia maklum,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Ahmad Zahid lagi, mereka juga memberi alasan kononnya Presiden Umno tiada hala tuju dalam membawa parti mengadapi PRU15.
“Ketika mereka membuat desakan itu (mereka) belum lagi menyertai PPBM (Bersatu), tetapi mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Selepas muslihat itu gagal, dua bulan kemudian baru mereka secara rasmi menyertai Bersatu dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Ahmad Zahid berkata, ironinya selepas beberapa tahun kemudian mereka antara yang amat susah hati apabila Umno menggesa PRU15 diadakan selepas proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos 2021.
“Sepatutnya mereka menyokong kerana Umno telah pun membuktikan hala tujunya pada PRN Melaka, Johor dan juga hala tuju yang jelas untuk PRU15.
“Iaitu untuk kembali membentuk sebuah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dominan demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
“Apapun inilah antara kisah nyata dan benar berpandukan fakta yang harus menjadi pengajaran mendewasakan selepas sejarah hitam 9 Mei 2018 terjadi di Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, antara bekas pemimpin Umno yang meninggalkan parti itu selepas PRU14 termasuk Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.
Selain, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz. – Malaysiapost

