Pengundi positif Covid-19 dibenarkan mengundi – Dr Noor Hisham

0
1
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

INDIVIDU yang disahkan positif Covid-19 dengan tahap kesihatan yang tidak kritikal akan dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, individu berkenaan bagaimanapun masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

Beliau berkata, pihaknya sudah bermesyuarat dengan SPR bagi mengesyorkan beberapa cadangan untuk dimasukkan di dalam SOP bagi mengelak penularan wabak itu, sekali gus memastikan pilihan raya berjalan lancar.

“Kita telah mengesyorkan beberapa cadangan untuk dimasukkan sebagai SOP pada PRU-15 kepada SPR dan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Antara SOP itu adalah pemakaian pelitup muka, pelindung muka (face shield) dan penggunaan cecair pencuci tangan pembasmi kuman, selain ada saluran khas untuk mereka.

“Jadi, kita tengah bincang dengan SPR. Pihak SPR akan buat pengumuman dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membantu dari segi pelaksanaan pilihan raya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Penglihatan Sedunia Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kehadiran individu yang positif itu juga akan dipantau ketat oleh kakitangan KKM yang akan bertugas di pusat mengundi di seluruh negara.

“Kakitangan kementerian juga akan menjadi sebahagian petugas PRU-15 nanti untuk memastikan perjalanannya selamat dan lancar,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tiada sebarang larangan untuk mana-mana individu yang belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 untuk mengundi pada PRU-15 nanti.

“Risiko jangkitan itu tetap ada bagi individu yang telah disuntik vaksin namun kesannya apabila dijangkiti sudah pasti berbeza.

“Tahap serius bagi mereka yang belum menerima vaksin mungkin lebih tinggi apabila dijangkiti berbanding individu yang sudah lengkap divaksin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here